Tuesday, December 4, 2007

Lebih dua bar ke tak?

Saya betul-betul terasa dejavu bila mendengar muzik latar belakang yang dimainkan dalam cakera padat kempen Tuan John Key. Muzik yang bagus, tetapi seperti pernah didengari. Clocks?

Ya, memang agak mirip kepada skor muzik dalam lagu Clocks nyanyian Coldplay. Dan lebih menyakinkan apabila Australasian Performing Right Association yang mengawalselia isu-isu hakcipta dan perlesenan artis-artis antarabangsa di Australia dan New Zealand turut berkata dalam nada yang sama.

Saya yakin ini bukan idea John sendiri untuk muzik tersebut. John tentunya tidak mahu dituduh penciplak yang bercita-cita besar mahu jadi PM. Orang yang perlu ditanya ialah orang yang menghasilkan CD itu untuknya. Seperti biasa jawapan-jawapan seperti kebetulan, bunyi macam sama tapi tak serupa, dsb.

Saya teringat kisah Ajai dan Haslam, semasa Nova Music bergabung dengan Skop Production untuk menerbitkan runut bunyi bagi filem Gerak Khas the Movie. Pada masa itu lagu nyanyian Illa Sabri ciptaan Johan bukan mendatangkan dejavu lagi kepada saya, tetapi kepastian yang jitu bahawa lagu itu terang-terang diciplak daripada lagu nyanyian Noryn ciptaan Ajai. Melodi yang 99% sama, cuma lirik berbeza. Tidak ada saman menyaman berlaku isu penciplakan itu akhirnya diselesaikan secara dalaman antara Ajai dan Yusuf.

Saya teringat juga kisah Iwan yang teruk dikutuk kerana dikatakan menciplak lagu Tinak Tin Tana, lagu tema filem Mann untuk melodi lagu Yang Sedang-sedang Saja. Akhirnya mereka yang mengutuk itu hanya mampu meneguk air liur kerana apa yang disangka berlaku secara terbalik. Bukan Iwan yang menciplak tapi Sanjeev-Darshan, komposer lagu itu.

Itu belum masuk lagi kisah-kisah lagu ni: Bandingkan Aku Cinta Padamu (Siti) dan & Selamanya (Intan Sarafina) dengan lagu I Love You (Celine Dion). Bandingkan Sesaat Kau Tiada (Fazley) dengan Sunshine After the Rain (98 Degrees). Bandingkan Damai (Nowseeheart) dengan Viva Forever (Spice Girls).

Di samping prinsip-prinsip asas yang biasa dalam mengenalpasti perlanggaran harta intelek, bila melibatkan muzik, kita ada kaedah forensik yang tersendiri. Benda paling asas yang kita tengok ialah sama ada muzik yang dikatakan ciplak itu mengandungi lebih daripada dua bar baris nota muzik yang sama.

Dalam industri muzik zaman sekarang, nak mencari komposer yang betul-betul mampu menghasilkan nota muzik tanpa rujukan daripada nota muzik lain bukannya senang. Kebanyakannya menggunakan kepakaran masing-masing untuk menyalin satu atau dua bar nota muzik lain, kemudian satu atau dua bar nota muzik yang lain pula, dan seterusnya dan seterusnya sehinggalah terhasil satu lagu yang 'baru''. Asalkan tak lebih dua bar sudah. Tak percaya tanya Edry KRU atau Dhani Dewa19.

p/s: Teringat kisah lagu Negaraku, Terang Bulan, Mamula Moon & Negarakuku (Namewee).


Taeri Mouth